KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui pelaburan dalam projek pembangunan semula Battersea Power Station di London mengalami kerugian akibat nilai pelaburan awal yang terlalu tinggi.
Katanya, kerajaan menerima teguran Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) supaya lebih berhati-hati memilih pelaburan luar negara, khususnya membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurutnya, usaha memulihkan projek Battersea masih berjalan, namun pengalaman itu menunjukkan rasional pelaburan besar di luar negara perlu diteliti dengan lebih mendalam.
“Saya setuju dengan gesaan dan teguran Hassan. Ada beberapa langkah yang dilakukan dulu, termasuk Battersea di UK itu. Walaupun sekarang sedang cuba dipulihkan, pelaburan asal itu terlalu tinggi dan telah mengalami kerugian.
“Maknanya, rasional yang dibangkitkan itu tepat. Mengapa kita agak terlalu terburu-buru untuk melabur di luar,” katanya pada sesi pertanyaan perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan kesilapan sama tidak berulang dan setiap keputusan pelaburan dinilai berdasarkan keperluan serta kemampuan ekonomi negara.
Terdahulu, Hassan meminta penjelasan mengenai jumlah pelaburan GLIC dan GLC dalam projek Battersea yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk dibangunkan semula.
Beliau turut mempersoalkan manfaat pelaburan berbilion ringgit itu kepada ekonomi Malaysia, sedangkan dana berkenaan boleh digunakan untuk merangsang pembangunan domestik.
Anwar berkata, kerajaan memahami keperluan institusi pelaburan seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) meneroka peluang dalam dan luar negara bagi menjana pulangan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sejak tiga tahun lalu menetapkan sekurang-kurangnya 20% pelaburan institusi berkenaan disalurkan ke dalam negara. Peratusan itu boleh ditingkatkan mengikut kesediaan dan keupayaan ekonomi Malaysia.
“Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah tetapkan mesti ada keutamaan. Sekurang-kurangnya pada peringkat awal, saya tetapkan 20% itu dalam negara.
“Sebab itu kita boleh menggunakan GLIC dengan jumlah RM150 bilion untuk jangkaan beberapa tahun akan datang. Ini keputusan-keputusan baharu berdasarkan pengalaman,” katanya.
Anwar turut mengingatkan, kerugian sesetengah pelaburan tidak semestinya mencerminkan prestasi keseluruhan sesebuah institusi kerana pelaburan lain masih mampu memberikan pulangan tinggi.
Beliau memberi contoh KWAP yang mencatatkan keuntungan RM8 bilion tahun ini, meskipun terdapat pelaburan yang mengalami kerugian.
“Jangan kita ambil kegagalan dalam eFishery mewakili keseluruhan KWAP,” katanya.
