PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) membayar kos RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas kelewatan 27 hari memfailkan rekod rayuan berhubung fatwa Selangor mengisytihar dan mewartakan entiti itu menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan GISBH dan AGC yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor serta Majlis Agama Islam Selangor selaku responden.
Peguam Zulfikri Ulul Azmi yang mewakili GISBH memohon lanjutan masa supaya rekod rayuan boleh difailkan kerana pihaknya tidak menyedari draf indeks tidak dikemukakan, tetapi kesilapan itu sudah diperbetulkan.
Peguam Persekutuan, Muhammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili responden membantah rayuan itu.
"Pihak kami mengekalkan pendirian seperti dalam hujahan dan mengenai kos, kami menyerahkan kepada mahkamah," katanya menurut Berita Harian.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Zaini yang bersidang bersama Ong Chee Kwan dan Radzi Harun membenarkan permohonan lanjutan masa serta memerintahkan GISBH membayar kos RM5,000 kepada AGC serta-merta.
Rayuan itu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Jan lalu menolak permohonan GISBH untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang diwartakan pada 16 Okt 2024.
Dalam alasan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, S Narkunavathy memutuskan cabaran terhadap fatwa itu tidak boleh diteruskan melalui semakan kehakiman di mahkamah sivil kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau antara lain merujuk Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan mengehadkan bidang kuasa mahkamah sivil terhadap perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mahkamah Tinggi turut meneliti sifat fatwa itu, yang menurut alasan penghakiman ditujukan kepada pemimpin, pengikut, pekerja dan ahli GISBH beragama Islam.
Tetapi, GISBH dalam memorandum rayuannya mempertikaikan keputusan itu dengan berhujah cabarannya bukan bertujuan meminta mahkamah sivil menentukan persoalan hukum syarak, sebaliknya meneliti kesahan fatwa serta proses pengeluarannya.
Ia turut membangkitkan persoalan berhubung pelaksanaan fatwa terhadap entiti korporat seperti GISBH.
Pada 18 Okt 2024, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytihar dan mewartakan GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam, selain melarang orang Islam mengamalkan kepercayaan, ajaran serta doktrinnya.
