PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi mengesahkan perbincangan khas agihan kerusi gabungan itu bagi PRN Melaka dengan MCA selesai dan mencapai perkembangan positif.
Timbalan perdana menteri berkata, perbincangan itu membabitkan Presiden MCA Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir dan Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh.
"Saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Rauf yang sudah diberikan mandat membuat pengumuman, sila ajukan soalan susulan kepada beliau," katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Durian Tunggal.
Sabtu lalu, Wee mengetuai tindakan pemimpin parti itu meninggalkan majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berhubung pengagihan kerusi.
Katanya, kerusi yang pernah ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, walaupun MCA merupakan komponen BN sejak sekian lama.
BN mengumumkan 21 calon, termasuk Naib Presiden MCA, Lim Ban Hong dan exco Ngwe Hee Sem untuk mempertahankan kerusi Kelebang serta Machap Jaya, manakala baki tujuh kerusi diberikan kepada PAS serta rakan strategiknya.
Penolakan calon BN di Durian Tunggal, Pantai Kundor
Zahid berkata, BN akan menyelesaikan isu penolakan calon BN di kerusi Durian Tunggal dan Pantai Kundor secara dalaman, tetapi beliau tidak menjangkakan calon yang sudah diumumkan akan ditukar.
"Saya tidak nampak ke arah itu (pertukaran calon)...kita akan lakukan langkah penyelesaian secara dalaman.
"Dalam mana-mana PRK atau PRN, apatah lagi PRU, memang ada permasalahan begini, bukan hanya BN, tetapi berlaku juga kepada parti gabungan lain.
"Ini sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian terbaik."
