PETALING JAYA: Langkah Barisan Nasional (BN) mencabar Wawasan di DUN Sungai Udang didakwa memberi petunjuk gabungan itu mungkin mengambil pendekatan sama terhadap 19 kerusi Parlimen milik kumpulan berkenaan pada PRU16, kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.
Menurut Puad, keputusan BN meletakkan calon di Sungai Udang pada PRN Melaka menunjukkan gabungan itu tidak menerima Wawasan, sekali gus memberi gambaran persaingan antara kedua-dua pihak boleh berlanjutan ke peringkat Parlimen.
Kerusi itu disandang Dr Aleef Yusof yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2021. Beliau yang dahulunya ahli Bersatu kini menganggotai Wawasan.
Puad menjangkakan PAS akan terus mempertahankan Wawasan seperti Bersatu pada peringkat awal penubuhan Perikatan Nasional (PN).
“PAS tidak akan biarkan BN jadi dominan,” katanya di Facebook.
Puad berkata perkembangan itu menunjukkan kerjasama antara BN dan PAS masih belum menjamin kestabilan politik Melayu serta negara kerana kedua-dua pihak mempunyai percaturan masing-masing.
Katanya, kerjasama berkenaan juga tidak semestinya membuka laluan mudah kepada Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menjadi perdana menteri.
“PAS ada perancangan lain. Mereka belum sedia dipaksa naik satu pentas dengan Umno,” katanya.
BN pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, termasuk Sungai Udang dengan menamakan Rais Yasin sebagai calonnya.
Timbalan ketua Umno Melaka itu dipindahkan dari kerusi Paya Rumput yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.
Keputusan itu mendapat reaksi Aleef yang menyifatkan tindakan BN meletakkan calon di kawasan itu sebagai satu bentuk pembulian terhadap PAS dan PN.
Beliau turut menyeru PN mempertimbangkan untuk bertanding secara solo pada PRN Melaka.
Pada PRN 2021, Aleef memenangi Sungai Udang dengan majoriti 530 undi. Beliau menewaskan tiga lagi calon termasuk Mohamad Ali Mohamad dari BN yang kini bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.
