PETALING JAYA: Seorang bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mempersoalkan ketiadaan tindakan terhadap pengerusi agensi persekutuan itu, Shaik Hussein Mydin, hampir dua minggu selepas dia didakwa atas tuduhan rasuah.
Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan yang berulang kali berikrar memerangi rasuah, paling tidak perlu 'merehatkan' Shaik Hussein daripada tugasnya sepanjang prosiding kesnya berlangsung di mahkamah.
"(Setakat ini) tidak ada satu kenyataan pun daripada pihak kerajaan ataupun pihak yang mewakili Perda mengatakan ada atau tidak tindakan diambil untuk menggantung kepengerusian beliau, ataupun untuk membuang (daripada jawatan)," katanya dalam satu wawancara.
Haniff yang mempengerusikan Perda dari Januari 2019 hingga Februari 2020 mengingatkan bahawa sudah 11 hari berlalu sejak Shaik Hussein didakwa, justeru menggesa Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang mana kementeriannya menyelia agensi itu, agar mengesyorkan Shaik Hussein direhatkan, 'sekurang-kurangnya buat sementara waktu'.
Tambahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar campur tangan jika Zahid gagal bertindak, bukannya menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada timbalannya.
Haniff berkata, walaupun Shaik Hussein dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, langkah membiarkan seorang pengerusi yang berdepan tuduhan rasuah terus menerajui agensi tersebut boleh menjejaskan keyakinan orang awam serta moral kakitangan.
“Kerusi pengerusi Perda itu sudah tercalar,” katanya menambah, timbalan pengerusi agensi tersebut boleh memangku jawatan itu buat sementara waktu sepanjang kes berjalan.
Pada 15 Okt, Shaik Hussein, 53, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town terhadap 15 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61.
Tuduhan tersebut melibatkan bayaran yang didakwa diterimanya sebagai balasan melantik sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek bernilai RM23.27 juta untuk menyiapkan asrama dan kemudahan lain di Perda-Tech, Seberang Perai Selatan.
Haniff turut menggesa agar diwujudkan garis panduan yang jelas bagi mewajibkan kerajaan mempertimbangkan tindakan merehatkan ketua-ketua agensi serta lantikan politik lain jika mereka berdepan tuduhan jenayah berat.
FMT sedang berusaha mendapatkan respons daripada Shaik Hussein dan peguamnya mengenai perkara ini.
