KUALA LUMPUR: Lawyers for Liberty (LFL) dan keluarga Noorizwan Zulkefly mengulangi gesaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan susulan kematian lelaki itu dalam tahanan bulan lalu.
Hasil bedah siasat Noorizwan dilaporkan menemui 21 kecederaan serius, termasuk pendarahan otak menyeluruh, pendarahan dalaman di abdomen serta bengkak dari tengkorak hingga tapak kaki.
Kira-kira 100 orang berarak dari Taman Tugu ke Parlimen pagi tadi bagi menuntut keadilan buat Noorizwan, selain mendesak IPCMC ditubuhkan bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sedia ada.
Mereka menyerahkan memorandum kepada Omar Mokhtar Manap, setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang menggesa penubuhan IPCMC serta siasatan Parlimen ke atas kes kematian dalam tahanan.
Memorandum itu turut menggesa pihak polis menghentikan siasatan terhadap peguam mewakili keluarga Noorizwan, selain menggantung tugas dan menahan anggota polis disyaki terbabit dalam kematiannya.
Adik lelaki Noorizwan, Nooranis Zulkefly, berkata keluarganya kecewa kerana tiada tangkapan dibuat hampir sebulan abangnya meninggak dunia.

"Kami terus tunggu dan tunggu, tetapi apa yang kami dapat hanyalah kenyataan demi kenyataan. Itu bukan apa kami mahukan. Kami mahu pihak bertanggungjawab ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302,” katanya.
Memorandum itu disokong 59 individu dan organisasi, termasuk keluarga Noorizwan, LFL, Amnesty International Malaysia, Bersih serta Suaram.
Pengarah LFL, Rania Aljunied, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap tuntutan itu, bukan hanya mengakui menerima memorandum berkenaan.
"Kami mahu jaminan perkara ini akan dibawa ke Parlimen serta dimaklumkan kepada menteri dalam negeri dan perdana menteri."
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata penubuhan IPCMC merupakan janji belum ditunaikan PKR dan Pakatan Harapan (PH), sambil mengimbau usaha penubuhan suruhanjaya itu semasa pentadbiran pertama PH pada 2018.
"Kami mahu sebuah suruhanjaya mempunyai kuku dan taring yang mampu mengambil tindakan," katanya sambil menambah IPCC sedia ada tiada kuasa diperlukan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan, manakala Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer akan membangkitkan perkara itu kepada Saifuddin ketika sesi penggulungan di Parlimen serta memaklumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyokong gesaan penubuhan IPCMC, sementara Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin menegaskan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mencemarkan reputasi pasukan polis.
Ahli Parlimen lain yang hadir termasuk Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin. Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim tiba kemudian.
Noorizwan, 42, ditahan pada 19 Sept lalu berhubung siasatan kes memiliki dadah, kecurian dan pecah rumah.
Dia ditahan di IPD Cheras, sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) pada 30 Sept lalu dan disahkan meninggal dunia keesokannya.
Ahad lalu, LFL mempertikaikan kenyataan Bukit Aman mendakwa Noorizwan mengalami kecederaan luaran tetapi tiada pendarahan dalaman, hasil bedah siasat menemui pendarahan pada otak dan ususnya. LFL turut berkata pakar patologi HUKM mengesahkan punca kematian Noorizwan disebabkan trauma akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kematian Noorizwan kerana terdapat "beberapa kecederaan luar biasa" pada tubuhnya.
