PETALING JAYA: Kerajaan menetapkan tempoh 12 bulan bagi menyiapkan empat kajian utama sebelum memuktamadkan hala tuju tenaga nuklear Malaysia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Chang Lih Kang.
Chang berkata, kesemua kajian itu dilaksanakan di bawah program pembangunan teknologi tenaga nuklear yang diselia Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Kajian tersebut merangkumi model pemilik-pengendali serta rancangan pembiayaan, penilaian dan penentuan keutamaan tapak, penilaian teknologi, selain hala tuju pembangunan industri nuklear negara, katanya.
“Kajian ini akan disiapkan dalam tempoh 12 bulan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
“Selepas itu, kerajaan akan memutuskan sama ada mahu menggunakan reaktor modular kecil (SMR) terapung atau di darat, serta model mana yang patut diguna pakai.”
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menggesa agar Malaysia mempercepat kesiapsiagaan menghadapi masa depan tenaga yang kian tidak menentu, didorong lonjakan permintaan elektrik oleh kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, ketegangan geopolitik, serta kebergantungan berterusan terhadap minyak dan gas.
Howard Lee (PH-Ipoh Timur) menggesa kerajaan menyegerakan persiapan tersebut, menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keputusan muktamad dicapai sebelum memulakan gerak kerja berkaitan teknologi itu.
Menurut Lee, negara wajar mempertimbangkan pilihan interim memandangkan harga tenaga kian meningkat akibat ketegangan di Asia Barat selain lonjakan keperluan elektrik bagi pusat data, khususnya di Johor.
Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya menunggu dasar muktamad sebelum memulakan persediaan rapi, memandangkan perolehan, pembinaan serta pembentukan keupayaan berkaitan boleh memakan masa bertahun-tahun.
Lee turut berhujah bahawa Malaysia mungkin sudah memiliki sebahagian besar asas kawal selia yang diperlukan.
“Jika saya tidak silap, pemetaan perundangan, undang-undang dan peraturan sudah sekitar 80% hingga 90% tersedia (bagi SMR terapung),” katanya menambah, hanya sebahagian kecil masih belum jelas.
Penerimaan awam amat penting
Chang turut berkata, perbahasan di Dewan Rakyat menunjukkan barisan Ahli Parlimen mengakui kepentingan meneroka tenaga nuklear sebagai sumber bekalan alternatif.
“Bagi pihak Ahli Parlimen, kita lihat wujud keperluan meneroka tenaga nuklear sebagai salah satu alternatif,” katanya.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) turut menggesa Malaysia meneroka tenaga nuklear, sambil menegaskan bahawa teknologi tersebut bukanlah perkara baharu mahupun belum teruji.
Bagaimanapun, beliau berpandangan tenaga nuklear terus menjadi isu sensitif di Malaysia berikutan kebimbangan terhadap insiden masa lalu, termasuk bencana nuklear Fukushima di Jepun.
Justeru, beliau menggesa agar pendidikan dan libat urus awam dipertingkat, merangkumi pelajar sekolah dan universiti serta Ahli Parlimen yang kelak meneliti perundangan berkaitan nuklear.
Menjawab perkara itu, Chang menegaskan penerimaan orang ramai kekal menjadi faktor penentu bagi sebarang keputusan berkaitan tenaga nuklear, sambil menambah kementeriannya sedang berusaha mengikis stigma terhadap topik itu.
“Jika rakyat tidak terima cadangan kerajaan, projek (nuklear) seperti ini sukar diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, Chang berkata, kementerian telah memperkenalkan advokasi nuklear sebagai elemen baharu dalam Minggu Sains Negara 2026, dengan sesi libat urus awam menumpukan pada fakta saintifik, aspek keselamatan dan pengurusan sisa radioaktif.
