PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengurangkan ganti rugi RM117 juta yang diperintahkan terhadap Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada RM3 juta dalam pertikaian berhubung kerja pemulihan bekas tapak pelupusan sampah milik pihak berkuasa tempatan itu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Ismail Brahim bersama Hakim K Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara membenarkan rayuan MPK yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang, terhadap jumlah ganti rugi diberikan kepada pemaju hartanah NBC Land Sdn Bhd.
Muniandy menyampaikan alasan penghakiman mahkamah.
Mahkamah turut mengetepikan faedah sebelum penghakiman hampir RM50 juta yang diberikan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan memerintahkan NBC Land membayar kos RM60,000 bagi prosiding rayuan serta penilaian ganti rugi.
Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian bertarikh 2 Dis 2003 yang menetapkan kedua-dua pihak berkongsi sama rata anggaran kos RM6 juta untuk memulihkan tapak pelupusan berkenaan menggunakan kaedah menutup sisa dengan lapisan tanah.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menilai keseluruhan kos pemulihan sebanyak RM234 juta, termasuk kerja menggali dan mengalihkan hampir dua juta tan sisa serta menggantikannya dengan bahan tambakan kejuruteraan.
Majlis itu kemudian diperintahkan membayar separuh daripada jumlah tersebut, iaitu RM117 juta, berserta faedah.
Dalam membenarkan rayuan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan penilaian tersebut melangkaui skop perjanjian asal antara kedua-dua pihak.
Muniandy berkata apa yang dipersetujui ialah menutup sisa dengan kira-kira 1.5m tanah yang dipadatkan, bukannya menggali keseluruhan tapak pelupusan dan memulihkan tanah itu kepada keadaan asal.
“Mahkamah yang membuat penilaian terikat kepada terma kontrak yang dilanggar,” katanya.
Beliau berkata kaedah penutupan dengan tanah yang dipersetujui dalam kontrak tidak boleh digantikan dengan kerja kejuruteraan yang jauh berbeza sehingga menelan kos hampir 40 kali ganda daripada anggaran asal.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa NBC Land membeli tanah seluas 161 ekar itu pada Jun 2000 dengan harga RM32.27 juta atas dasar “seadanya”, dengan mengetahui kira-kira 36 ekar daripadanya pernah digunakan sebagai tapak pelupusan sampah majlis.
Muniandy turut memutuskan faedah sebelum penghakiman tidak wajar diberikan kerana NBC Land belum melaksanakan kerja pemulihan berkenaan atau membuat bayaran kepada kontraktor untuk melaksanakannya.
Katanya, memberikan faedah atas anggaran kos yang belum dibelanjakan juga akan memberi keuntungan tidak wajar kepada NBC Land.
Mahkamah menggantikan award Mahkamah Tinggi dengan ganti rugi RM3 juta, iaitu bahagian 50% yang dipersetujui perlu ditanggung majlis daripada keseluruhan kos pemulihan RM6 juta.
Mahkamah turut memerintahkan faedah selepas penghakiman pada kadar 5% setahun sehingga jumlah itu dibayar sepenuhnya.
Tommy Thomas, Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mervyn Lai, Fadzil Amin Yusoff dan Atiqah Azman mewakili majlis, manakala Cecil Abraham, Harold Tan, Lee Sin Yee dan Liu Poh Yeng mewakili NBC Land.
