PETALING JAYA: Seorang cendekiawan menyarankan sejarah rentas tamadun diperkenalkan di sekolah rendah, berkata langkah itu mampu memupuk semangat patriotisme, menyemai rasa bangga terhadap sejarah bersama negara, serta membendung ketiadaan toleransi dalam kalangan murid.
Menurut Sharifah Munirah Alatas, sejarah rentas tamadun memberi tumpuan kepada cara pelbagai budaya dan tamadun saling berinteraksi.
Beliau berkata, antara cara menyemai patriotisme dan rasa megah terhadap negara adalah dengan mempelajari tamadun lain serta identiti bersama yang dibina tamadun berkenaan, sambil menambah pendekatan sedemikian sebahagian besarnya masih tiada di sekolah rendah mahupun menengah.
“Tamadun-tamadun hebat wujud dan berkembang maju kerana meraikan kepelbagaian,” katanya kepada FMT, menekankan keperluan untuk sentiasa menimba iktibar daripada pencapaian silam budaya lain, khususnya tamadun Cina, Islam, Parsi, Arab dan India.
Beliau mengulas peningkatan sikap tiada toleransi terhadap agama dalam kalangan murid, yang sebelum ini dikaitkan dengan sentimen politik perkauman.
Munirah berkata, murid perlu mempelajari faktor yang membolehkan sesebuah tamadun makmur atau punca keruntuhannya, menegaskan bahawa kejayaan mahupun kejatuhan sesebuah tamadun tiada kaitan langsung dengan menjadi semakin 'tidak beragama' atau, dalam konteks Malaysia, menjadi semakin Islam.
Katanya, murid juga wajar didedahkan dengan konsep hidup bersama antara masyarakat Islam dan bukan Islam melalui contoh zaman silam apabila umat Islam, Yahudi dan Kristian hidup aman di bawah pemerintahan Islam.
“Institusi politik dalam empayar-empayar ini memungkinkan kewujudan bersama yang aman damai. Dari sudut sejarah, kepimpinan Islam membolehkan wujudnya masyarakat majmuk yang sihat dalam empayar mereka. Semestinya kepimpinan Melayu-Islam masa kini mampu lakukan perkara yang sama,” katanya.
Munirah menambah, Asia Tenggara, khususnya alam Melayu, sejak sekian lama meraikan serta menerima kepelbagaian budaya, etnik dan agama di rantau ini.
Beliau mengaitkan perkara ini, sebahagiannya, dengan penyebaran Islam melalui tradisi sufi, pandangan yang menurutnya sering diketengahkan oleh beberapa cendekiawan tempatan, termasuk Syed Farid Alatas.
Munirah menggesa agar pengalaman sejarah ini ditekankan di dalam bilik darjah bagi membantu murid lebih menghayati nilai kewujudan bersama serta rasa saling menghormati.
“Dalam konteks Malaysia, hubungan antara orang Islam dan bukan Islam, atau kaum Melayu dengan bukan Melayu, penting dalam membina semangat patriotisme dan rasa bangga terhadap negara,” katanya.
Munirah turut kesal kerana Kementerian Pendidikan dari dahulu dilihat lebih cenderung memperkukuh fahaman ketuanan kaum menerusi naratif etnonasionalis, peminggiran, fakta tersasar, serta mitos dalam buku teks sejarah.
“Jika kita benar-benar ikhlas hendak laksanakan reformasi, naratif ini perlu diubah. Pendekatan ini juga wajar diterapkan di universiti serta institusi pengajian tinggi kita,” tambahnya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu membaharui profesion perguruan memandangkan para pendidik, termasuk guru besar, memainkan peranan penting dalam menyemai pemikiran serta amalan yang progresif.
Secara berasingan, bekas timbalan menteri perpaduan Ti Lian Ker berkata, beliau tidak terkejut dengan kebimbangan yang disuarakan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin mengenai isu tiada toleransi agama dan kaum dalam kalangan murid sekolah rendah.
Ti berkata, kegusaran Willie itu sepatutnya mendorong kerajaan untuk menilai sama ada sistem pendidikan dan persekitaran sosial negara ketika ini benar-benar mempersiapkan generasi masa depan untuk hidup bersama dalam sebuah negara majmuk.
“Sudah tentu ada yang tidak kena dengan sistem kita apabila nilai toleransi dan penerimaan tidak lagi diberi penekanan,” katanya menambah, perkara itu turut mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dalam menerapkan prinsip-prinsip yang didukung oleh Rukun Negara.
“Satu jawatankuasa peringkat kerajaan wajar ditubuhkan bagi meneliti trend ini dan mengesyorkan langkah untuk membendung masalah berkenaan daripada peringkat akar umbi,” katanya.
Ti turut berkata, kenyataan Willie itu menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya sekolah vernakular menjadi punca jurang perpecahan masyarakat semakin melebar.
