KUALA LUMPUR: Penjualan tanah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Ampang Hilir kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bernilai RM420 juta bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses tender dan pertimbangan sewajarnya, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.
Beliau berkata transaksi berkenaan dilaksanakan selaras dengan dasar, prosedur dan tadbir urus LTAT serta peruntukan undang-undang berkaitan.
“Status tanah milik LTAT di Ampang Hilir yang dijual kepada kerajaan AS untuk membina kedutaan baharu.
"Memang ada tender, beberapa syarikat telah masuk dan AS telah berjaya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.
Khaled berkata tanah berkenaan berstatus pajakan, manakala pemilikannya kekal pada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Jelasnya, transaksi itu membabitkan pembelian hak pajakan oleh kerajaan AS bagi membina kedutaan baharu negara itu, bukannya pemindahan hak milik tanah berkenaan.
"Maknanya AS beli pajakan. Penjualan itu juga sebahagian daripada usaha mengimbangi semula portfolio aset LTAT," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khaled berkata kementeriannya memandang serius perkembangan ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina, yang terletak tidak jauh dari Sabah.
Beliau berkata peningkatan kehadiran dan keupayaan ketenteraan Filipina dengan sokongan AS berpotensi meningkatkan ketegangan antara kuasa besar di kawasan geografi yang kecil dan sempit.
Katanya, ketegangan berpanjangan atau konflik berpotensi merebak ke kawasan berhampiran termasuk Sabah, walaupun Malaysia tidak terbabit dalam sebarang konflik berkenaan.
"Kita memberi jaminan bahawa kementerian sentiasa memantau perkembangan itu dan mengkaji implikasinya terhadap pertahanan negara.
"Kerajaan juga terus memperkukuh kehadiran dan postur pertahanan di Sabah merangkumi aspek darat, laut dan udara," katanya.
Beliau mengulas kebimbangan rakyat Sabah susulan kerjasama pertahanan Filipina dan AS yang meningkatkan pembangunan pangkalan tentera, termasuk di Pulau Balabac, Palawan, kira-kira 50km dari Pulau Banggi di Sabah.
