PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempertahankan kerjasamanya dengan Prosignal Consortium Sdn Bhd bagi membangunkan aplikasi navigasi TuJu.
Penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi Waze atas kebimbangan keselamatan negara dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan peralihan kepada aplikasi TuJu.
Tetapi, kerajaan berdepan desakan untuk menjelaskan pemilihan Prosignal sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan aplikasi TuJu susulan laporan berhubung gangguan dan masalah teknikal yang dibangkitkan pengguna.
Pengerusi LLM, Hasni Mohammad, berkata kerjasama dengan Prosignal bermula daripada cadangan dikemukakan pendahulunya, Abdul Rashid Asari, ketika memegang jawatan itu.
Ditanya mengenai pelantikan Prosignal tanpa melalui tender terbuka, Hasni menjelaskan langkah itu wajar kerana pembangunan TuJu dibiayai pelabur, bukannya menggunakan dana kerajaan.
"Idea itu dibentangkan semasa beliau menjadi pengerusi dan dipersetujui oleh lembaga pengarah. Ini bermakna ramai pihak terlibat. Ia bukan keputusan beliau seorang sahaja," katanya kepada Malaysiakini.
"Tuju dibiayai oleh pelabur dalam projek itu, sama ada melalui dana dalaman atau pinjaman.
"Oleh itu, jika ada pihak yang bertanya mengapa ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, jawapannya ialah kerana tiada dana kerajaan yang terlibat.
"Selain itu, LLM sentiasa mematuhi peraturan kewangan," kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.
Hasni menggantikan Rashid pada Ogos 2022. Rashid yang juga Adun Selat Klang kini merupakan pengarah Prosignal.
Ditanya sama ada pembabitan Rashid dengan Prosignal menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan timbul konflik kepentingan, Hasni berkata, pendahulunya itu bukan lagi pengerusi LLM ketika perbincangan diadakan.
"Pada masa keputusan itu dibuat, beliau hanya membawa satu cadangan kepada lembaga pengarah demi manfaat pengguna jalan raya."
Jelasnya, TuJu dibangunkan sebagai perkhidmatan tambahan bagi pengguna lebuh raya bertol yang menyediakan kemas kini trafik, maklumat berkaitan kawasan rehat, lokasi kamera penguatkuasaan serta mendapatkan bantuan kecemasan.
Tegasnya, aplikasi itu bukan untuk bersaing secara langsung dengan Waze, sebaliknya bagi memenuhi keperluan khusus pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya bertol.
"Jika anda dalam perjalanan di lebuh raya dari Ayer Keroh ke Seremban, aplikasi ini akan dapat memaklumkan anda tentang keadaan trafik sepanjang perjalanan, susur keluar, kawasan rehat dan kemudahan lain."
Katanya, TuJu turut membolehkan pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan lain untuk mendapatkan nombor telefon berkaitan serta maklumat mengenai bantuan tersedia.
Beliau mengakui keupayaan pemantauan trafik oleh LLM memerlukan penaiktarafan kerana bukan semua lebuh raya menyediakan maklumat trafik kepada agensi itu.
Hasni berkata, kerajaan telah mengarahkannya menaik taraf TuJu, manakala sebarang peluasan perkhidmatan di luar lebuh raya bertol bergantung kepada keupayaan teknikal dan pembiayaan.
Minggu lalu, Prosignal memohon maaf atas gangguan yang berlaku dan memaklumkan pasukan teknikalnya sedang berusaha memulihkan serta menambah baik fungsi navigasi aplikasi itu.
