KUALA LUMPUR: Negeri SG4 terbuka menjadi perintis bagi kajian penggunaan teknologi nuklear baharu seperti reaktor modular kecil (SMR) di Malaysia sebagai alternatif penjanaan tenaga pada masa depan, kata Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelasnya, penggunaan reaktor nuklear berskala kecil wajar dipertimbangkan berbanding loji janakuasa nuklear berskala besar, mengambil kira potensi teknologi itu dalam memenuhi keperluan tenaga negara.
"Saya fikir tenaga nuklear merupakan topik sangat hangat diperkatakan pada masa ini. Bagaimanapun, apa yang kita bincangkan bukanlah loji tenaga nuklear berskala besar seperti Fukushima," katanya pada SG4 Business & Economic Forum 2026.
Menteri besar Terengganu itu berkata, beliau pernah melawat sebuah stesen janakuasa nuklear di luar negara dan melihat sendiri saiz reaktor serta kemudahan berkaitan, sekali gus memberi gambaran skala pembangunan teknologi berkenaan.
"Jika saya boleh mencadangkan sesuatu untuk Malaysia, saya fikir kita patut melihat kepada penggunaan reaktor nuklear berskala kecil. Reaktor jenis ini sememangnya menghasilkan tenaga dalam jumlah lebih kecil.
"Keterbukaan ini bukan sahaja terhad kepada SG4 (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis), malah merangkumi bahagian lain di Malaysia, sekiranya kami berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU16."
Pembangunan infrastruktur
Samsuri berkata, kerajaan negeri perlu diberikan kuasa lebih besar untuk menentukan keutamaan pembangunan infrastruktur masing-masing, bukannya hanya bergantung kepada keputusan dibuat Putrajaya.
Menurutnya, perbezaan antara keutamaan kerajaan persekutuan dan negeri membawa cabaran dalam mendapatkan sokongan bagi projek dianggap penting oleh pentadbiran negeri.
"Saya fikir inilah antara isu utama yang sedang kita hadapi dalam hubungan dengan kerajaan persekutuan. Ada kalanya perkara yang menjadi keutamaan kita, tidak menjadi keutamaan mereka. Pada pandangan saya, isu ini perlu diselesaikan melalui penambahbaikan hubungan antara kerajaan negeri dengan persekutuan.
"Kerajaan negeri perlu diberikan lebih banyak ruang untuk menentukan sendiri projek yang patut diberikan keutamaan, bukan segala-galanya ditentukan kerajaan persekutuan."
Beliau berkata, perkara itu antara aspek yang diharap boleh diubah jika gabungan politiknya berjaya menawan Putrajaya selepas PRU16.
"Dengan itu, kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk membuat keputusan sendiri (membangunkan negeri)."
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim
Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, berkata cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sedang menanti kelulusan Putrajaya selepas enam daripada lapan syarat ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara dipenuhi.
Jelasnya, antara syarat belum dipenuhi membabitkan lesen pengendali aerodrom (AOL).
"Tiada garis masa (ditetapkan untuk kelulusan projek itu). Jika mereka (kerajaan persekutuan) tidak meluluskannya, maka ia tidak akan berlaku," katanya sambil menambah satu-satunya halangan ketika ini ialah proses kelulusan oleh Putrajaya memandangkan pelabur sudah bersiap sedia.
Jika Putrajaya tidak meluluskan projek itu sekarang, beliau berkata, Kedah perlu menunggu selepas PRU16 dengan harapan kerajaan persekutuan diambil alih gabungan lain untuk projek berkenaan direalisasikan.
