PETALING JAYA: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyasarkan penglibatan 2,000 peserta bagi Larian Keluarga Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 5 Dis ini.
Larian malam sejauh 5km, yang sudah masuk tahun ketiga penganjuran, dijadualkan bermula pada 8.30 malam di Padang Kawad UiTM.
Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob menyeru orang ramai, khususnya mahasiswa, golongan belia dan keluarga, menyertai program bertemakan 'Luminous Run' dengan cogan kata 'Satu Langkah, Satu Hati'.
Beliau berkata, program itu bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan perpaduan, malah menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan serta pendidikan kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.
“Setiap penyertaan bukan sahaja memberikan peluang untuk beriadah dan berhibur bersama keluarga serta rakan-rakan, tetapi turut membawa makna besar kepada anak-anak di bawah jagaan YKM yang memerlukan sokongan berterusan untuk membina masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Selain larian, peserta turut disajikan dengan mini konsert, senamrobik dan cabutan bertuah, manakala bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dikekalkan sebagai duta acara itu.
Individu yang berminat boleh mendaftar dengan yuran RM45 pada fasa Super Early Bird dari 26 Okt hingga 4 Nov; RM50 bagi fasa Early Bird dari 5 hingga 16 Nov; dan RM55 dari 17 hingga 28 Nov.
Sementara itu, yuran pendaftaran bagi pelajar, staf dan alumni ialah RM35 pada fasa Super Early Bird, RM40 bagi Early Bird, atau harga biasa RM50.
