KUALA LUMPUR: Pembangunan Bandar Madani Bukit Jalil akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun, dengan kerajaan dalam proses menyediakan peruntukan RM250 juta bagi menaik taraf jalan raya dan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk kerja menaik taraf jalan sedia ada, membina jalan baharu empat lorong serta dua jambatan bagi melancarkan aliran trafik, sekali gus menangani kebimbangan penduduk setempat.
Pembangunan itu, katanya, bukan sekadar projek perumahan berkepadatan tinggi, sebaliknya sebuah ekosistem bandar berintegrasi yang menggabungkan kediaman mampu milik dengan kemudahan pendidikan, kesihatan dan komuniti.
“Projek ini direka khas untuk memastikan rakyat tidak hanya memiliki kediaman, tetapi menikmati kualiti hidup yang lengkap,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata, antara komponen utama projek itu ialah pembinaan sekolah secara menegak yang mengintegrasikan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu kompleks, selain klinik kesihatan moden serta Hab Madani.
Hab Madani itu dicadangkan merangkumi ruang penjaja, kios polis, dewan serba guna, ruang perkhidmatan komuniti, surau, kemudahan pengangkutan dan hentian bas setempat.
Beliau berkata, pembangunan itu turut menerapkan konsep bandar mesra pejalan kaki dalam lingkungan 15 minit (15-Minute Walkable City), dengan kemudahan asas dan kawasan rekreasi dihubungkan melalui laluan pejalan kaki berbumbung bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian untuk perjalanan jarak dekat.
Mengenai kebimbangan terhadap kesan pembangunan kepada penduduk sedia ada, Nga berkata Penilaian Impak Trafik, Penilaian Impak Alam Sekitar dan Penilaian Impak Sosial sedang dilaksanakan secara teliti.
Beliau berkata, projek itu telah memperoleh Perintah Pembangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas melalui proses libat urus teknikal bersama agensi berkaitan, termasuk PLANMalaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Menjawab celahan Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai rasional pemilihan Bukit Jalil sebagai lokasi projek itu, Nga berkata, kawasan itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik dengan prasarana awam.
Beliau berkata, kediaman yang ditawarkan juga akan berada pada kadar mampu milik, berbanding harga kondominium di kawasan bandar raya yang boleh mencecah RM600,000 hingga RM700,000.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa kerajaan menangguhkan pendaftaran Rumah Madani di Bandar Madani Bukit Jalil sehingga kajian pelan kawalan mikro Bukit Jalil dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) selesai berikutan kebimbangan pembangunan akan memburukkan kesesakan trafik.
Dalam pada itu, Nga dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak RM467,140 kutipan denda direkodkan, manakala 3,638 jam hukuman khidmat masyarakat dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Katanya, perkara itu hasil daripada 8,960 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di tujuh negeri di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, dengan 17,145 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan.
Nga berkata, KPKT akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 bagi memastikan persekitaran negara kekal bersih serta memberikan imej positif kepada pelancong.
“Seiring dengan usaha tersebut, KPKT turut menggerakkan penyertaan masyarakat melalui Hari Cuci Malaysia (HCM) bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan awam.
“Penganjuran HCM tahun ini mencatatkan dua rekod Malaysia Book of Records, iaitu bagi Penyertaan Gotong-Royong Teramai dalam Sehari, melibatkan 332,429 peserta dan Pengumpulan Sisa Kitar Semula Terberat dalam Sehari, berjumlah 89,221.22kg,” katanya.
