PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) tidak akan beroperasi seperti sebuah bank kerana institusi itu tertakluk kepada mandat dan tanggungjawab ditetapkan di bawah Akta Tabung Haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bahawa cadangan menetapkan simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah boleh menyebabkan TH bertindak seperti sebuah bank.
“Berkenaan kenyataan mengatakan TH bertindak seperti bank, ingin kita tekankan di sini, TH ada mandatnya di bawah Akta Tabung Haji.
“Itu tanggungjawab dan amanah dan TH akan terus mengikut serta mematuhi mandatnya dan tidak akan melakukan selain daripadanya,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027.
Terdahulu, Idris meminta kerajaan membatalkan cadangan menetapkan simpanan minimum RM15,000 dalam akaun khas TH yang menurutnya akan menyusahkan pendeposit.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 80% daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang berdaftar untuk menunaikan haji masih belum mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000.

Zulkifli berkata keadaan itu menunjukkan pentingnya pendeposit membuat persediaan kewangan lebih awal bagi memastikan mereka mempunyai kemampuan untuk menunaikan haji.
Cadangan simpanan minimum itu bertujuan memastikan bakal jemaah mempunyai kemampuan kewangan mencukupi, selain menangani isu penolakan atau penangguhan tawaran haji.
Bagaimanapun, cadangan itu turut mendapat bantahan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata jumlah simpanan dalam akaun TH tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar seseorang bakal jemaah, selain boleh membebankan pasangan suami isteri yang perlu menyediakan keseluruhan RM30,000.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebelum ini turut membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat dengan menyuarakan kebimbangan kira-kira tiga juta pendeposit sedia ada mungkin terkeluar daripada senarai giliran haji sekiranya syarat berkenaan dilaksanakan.
