KUALA LUMPUR: Rakyat di empat negeri SG4 perlu berkongsi cita-cita yang sama supaya kekayaan dan sumber baharu yang dimiliki dapat dimanfaatkan sepenuhnya, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata sejak idea SG4 diperkenalkan, pemimpin dari Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis semakin menyedari kekuatan dimiliki serta potensi boleh dibangunkan terutama di luar kegiatan ekonomi tradisional.
Penasihat SG4 itu berkata Kedah yang selama ini sinonim dengan penanaman padi mahu berkembang sebagai hab pembuatan, manakala Kelantan membawa sektor pertanian ke arah lebih komersial dan bukan sekadar untuk sara diri.
Terengganu pula mahu meneroka kegiatan hiliran petroleum dan tidak hanya bergantung kepada royalti, sementara Perlis mahu memperluas perdagangan rentas sempadan.
Namun, Mahathir mengingatkan walaupun SG4 mempunyai pelbagai rancangan besar berasaskan sumber baharu itu, aset sebenar empat negeri berkenaan adalah rakyatnya.
“Jika rakyat di negeri-negeri ini tidak berkongsi cita-cita yang sama, maka apa juga kekayaan yang berpotensi dimanfaatkan tidak akan membawa banyak makna,” katanya pada SG4 Business & Economic Forum 2026.
SG4 merangkumi empat negeri diterajui Perikatan Nasional (PN), iaitu Kedah, Terengganu, Perlis dan Kelantan, dengan tiga daripadanya dikuasai PAS.
Teks ucapan Mahathir dibacakan anaknya, Mokhzani, memandangkan belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.
Mahathir turut menolak tanggapan masyarakat di empat negeri itu tidak mempunyai kebolehan dalam bidang perniagaan, sambil menyatakan ramai usahawan Melayu berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan negeri Pantai Barat berasal dari negeri SG4.
Beliau turut membangkitkan soal sikap dalam kalangan segelintir masyarakat Melayu yang menurutnya boleh menjejaskan kemajuan, termasuk kecenderungan memilih jalan pintas dan mengejar keuntungan segera.
“Dan itulah menjadi antara masalah masyarakat Melayu Islam di negara ini, dengan perhatian sering tertumpu kepada negeri SG4 kerana majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu Islam,” katanya.
Mahathir berkata orang Melayu sebenarnya mempunyai potensi menjadi peniaga dan usahawan yang baik, sambil mengaitkannya dengan nilai yang dituntut dalam Islam.
“Saya tidak bermaksud membandingkan Islam dengan agama lain, tetapi sebagai seorang muslim, saya tahu bahawa ajaran Islam, jika benar-benar diamalkan, boleh menjadikan orang Melayu sangat dihormati dalam perniagaan.
“Islam mengingatkan umatnya tentang beratnya hukuman bagi mereka yang menipu dan mencuri, manakala kejujuran pula amat dituntut. Dalam industri makanan dan minuman, kebersihan juga merupakan perkara penting dalam kehidupan seorang Muslim.
“Dalam erti kata lain, jika orang Melayu berpegang kepada ajaran Islam, mereka akan sangat dipercayai dalam perniagaan dan perdagangan,” katanya.
Mengenai unsur nadir bumi (REE), Mahathir berkata SG4 mempunyai sumber yang dikenal pasti antara kawasan dengan deposit tertinggi di negara ini dan mendapat perhatian dari dalam serta luar negara.
“Isunya sekarang bukan sekadar mengeluarkan dan menjualnya, yang boleh memberikan sumber pendapatan besar kepada negeri SG4.
“Sebaliknya, persoalannya ialah bagaimana kita boleh menambah nilai kepada unsur-unsur ini supaya pendapatan yang diperoleh dapat ditingkatkan berkali ganda.
“Hanya dengan itu usaha ini boleh menjadi mampan dan benar-benar memaksimumkan manfaatnya kepada rakyat di negeri-negeri ini,” katanya.
