KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Dis depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh Perikatan Nasional (PN) bagi mencabar perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang menggantung aktiviti gabungan itu.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali ketika mengesahkan perkara itu, berkata tarikh itu ditetapkan menerusi prosiding e-Semakan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.
“Pendengaran itu dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Azizan Md Arshad pada 2.30 petang,” katanya yang dihubungi.
JPPM sebelum ini mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 Sept lepas di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan kepada gabungan itu pada 22 Sept.
Pada 13 Okt, Hakim Azizan menolak permohonan PN untuk mendapatkan penangguhan sementara terhadap notis JPPM yang menggantung semua kegiatan gabungan politik itu, namun memberi kebenaran kepada gabungan politik itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Pada 5 Okt, PN dan empat parti komponennya memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Pemohon pertama ialah Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan bersama Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Wong Chia Zhen dan Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) N Sathes Kumar.
Pemohon keempat dan kelima ialah Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Sazmi Miah.
Pihak responden ialah Ketua Pengarah JPPM Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Pihak pemohon mendakwa perintah penggantungan itu telah menghalang mereka daripada menjalankan aktiviti politik seperti biasa, termasuk menggunakan nama dan lambang gabungan berkenaan pada PRN Melaka ke-16.
