PETALING JAYA: Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang, didapati menyalahgunakan subsidi BUDI Madani susulan siasatan polis terhadap aduan orang ramai mengenai maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.
Semakan Kementerian Kewangan (MoF) terhadap rekod stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi dilakukan menggunakan kaedah pintasan manual.
Transaksi berkenaan melibatkan lebih 100,000 liter petrol, dengan jumlah subsidi melebihi RM270,000, menurut kementerian dalam satu kenyataan.
Kementerian Kewangan serta-merta melarang stesen minyak itu menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah skim BUDI Madani.
Kementerian turut menahan pembayaran subsidi kepada stesen berkenaan, dengan jumlah awal melebihi RM270,000, tertakluk kepada pelarasan lanjut.
Kenyataan itu turut menyebut kementerian telah mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.
