PETALING JAYA: Rundingan Wawasan berkenaan PRN Melaka dibuat atas nama Perikatan Nasional (PN), dengan persefahaman bersama Barisan Nasional (BN) membolehkan pertukaran sesama kerusi penyandang atas sebab tertentu, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Abdullah.
Saifuddin memberitahu FMT, Wawasan mahu bertanding pada PRN itu sebagai sebahagian daripada PN, justeru segala urusan termasuk rundingan kerusi dan penggunaan logo dibuat melalui gabungan pembangkang itu.
Menurutnya, perkara berkait agihan kerusi turut dibincangkan pada Majlis Tertinggi PN semalam.
"Prinsip utama dipersetujui oleh PN dan BN ialah penyandang akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut.
"Namun, atas sebab-sebab tertentu, maka antara PN dan BN boleh juga bertukar kerusi penyandang," katanya mengulas perkara dibangkitkan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berhubung Sungai Udang.
Puad mendakwa, keputusan BN bertanding di kerusi DUN itu menunjukkan gabungan itu menolak Wawasan sebagai rakan pilihan raya, selain memberi petunjuk persaingan kedua-dua pihak mungkin berlanjutan ke PRU16, bagi 19 kerusi Parlimen yang disandang parti itu.
Kerusi itu disandang Dr Aleef Yusof, bekas ahli Bersatu yang kini menganggotai Wawasan, yang menang atas tiket PN pada PRN 2021.
BN pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, termasuk Sungai Udang yang akan ditandingi Rais Yasin.
Timbalan ketua Umno Melaka itu dipindahkan dari kerusi Paya Rumput yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.
Aleef menyifatkan tindakan BN meletakkan calon di kawasan itu sebagai satu bentuk pembulian terhadap PAS dan PN.
Pada PRN 2021, Aleef memenangi kerusi Sungai Udang dengan majoriti 530 undi, menewaskan tiga lagi calon termasuk Mohamad Ali Mohamad daripada BN, yang kini bersama Bersatu.
