KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil terhadap MyEG dan Zetrix AI Berhad kerana gagal melunaskan tunggakan kutipan hasil berserta penalti dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata wang kutipan kerajaan tidak boleh digunakan sebagai dana operasi syarikat, manakala kelewatan menyerahkannya merupakan pelanggaran serius terhadap terma perjanjian.
"Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman sivil terhadap pihak syarikat (terbabit),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan berhubung dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.
Kedua-dua syarikat itu juga dilaporkan mempunyai tunggakan bayaran RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bagi mengelakkan ketirisan berulang, Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang menambah baik sistem digital termasuk portal MySIKAP dan aplikasi MyJPJ bagi mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga.
Loke berkata, cadangan menggunakan akaun terimaan kecil Perbendaharaan bagi menyalurkan kutipan terus ke akaun kerajaan sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara.
Selain itu, sistem pengurusan hasil kerajaan akan diperketatkan bagi menghentikan transaksi secara automatik jika ejen gagal memindahkan kutipan dalam tempoh 10 hari. Kerajaan turut mencadangkan jaminan wajib daripada syarikat induk bagi melindungi hasil kerajaan.
Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ melalui kaunter, MySIKAP, MyJPJ dan ejen lain yang dilantik.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata kerajaan akan memastikan tambang RTS Link Johor Bahru-Singapura berpatutan dan tidak melebihi kos menggunakan kenderaan sendiri, khususnya bagi penunggang motosikal yang berulang-alik antara kedua-dua bandar.
