PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin menyifatkan hasrat Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu sebagai 'aneh dan luar biasa'.
Presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata, partinya belum menerima sebarang surat berhubung tindakan itu setakat ini.
“Agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi PN mahu ambil tindakan untuk menghukum kita. Apa salah kita?” soalnya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mengumumkan keputusan mengenai penyertaannya pada PRN Melaka pada 29 Okt, namun tidak mendedahkan kerusi yang akan ditandingi.
“... Memang kita akan sertai (PRN Melaka), saya tak payah nak jelaskan mana kita akan bertanding,” katanya menambah, persiapan menghadapi pilihan raya itu sudah dimulakan.
Semalam, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu atas tindakan yang didakwanya bercanggah dengan kepentingan gabungan, termasuk bertanding menentang PN pada PRN Negeri Sembilan.
Takiyuddin berkata, tindakan itu dibuat mengikut Fasal 15 perlembagaan PN, yang membolehkan tindakan seperti amaran, penggantungan atau pemecatan dikenakan bergantung pada keseriusan kesalahan.
Tambahnya, tuduhan akan disediakan dan Bersatu akan diberi tempoh untuk menjawabnya.
Bersatu sebelum ini mengadu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa parti itu dinafikan hak menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Susulan itu, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN pada 20 Okt, selepas mendapati penjelasan gabungan itu tidak menyangkal asas pembatalan.
Bagaimanapun, pelaksanaan keputusan itu kemudiannya ditangguhkan mahkamah, membolehkan PN meneruskan operasinya sementara proses undang-undang berjalan.
