KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang meminda undang-undang bagi memudahkan Mahkamah Syariah mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja mengabaikan perintah menunaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Di bawah undang-undang keluarga Islam, nafkah merujuk kepada sokongan kewangan yang wajib disediakan oleh seseorang untuk pasangan, bekas pasangan atau anak-anak, tertakluk kepada keadaan. Ia merangkumi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan perbelanjaan sara hidup yang berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, berkata Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) turut mencadangkan semakan dibuat bagi menentukan sama ada bakal suami pernah gagal membayar nafkah sebelum ini.
Katanya, lelaki Muslim yang memohon kebenaran untuk berpoligami mesti mengemukakan permohonan ke Mahkamah Syariah, yang akan menilai kemampuan mereka menanggung isteri sedia ada dan anak-anak.
Marhamah berkata, mahkamah sedia ada mempunyai kuasa memerintahkan pemotongan gaji, menyita, dan menjual harta, atau memenjarakan mereka yang mengingkari perintah membayar nafkah. Namun, langkah tersebut memerlukan perintah mahkamah dan tidak boleh dikenakan secara automatik.
Beliau berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah JKSM sasar menyelesaikan sekurang-kurangnya 75% daripada kes nafkah tidak dibayar setiap tahun.
Bahagian itu juga sedang bekerjasama dengan agensi seperti KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan individu culas daripada mematuhi kewajipan nafkah.
Marhamah berkata, JKSM sedang meneroka langkah meningkatkan bantuan kewangan untuk keluarga yang sedang menunggu pembayaran nafkah, termasuk bantuan yang tidak perlu dibayar semula oleh penerima. Bagaimanapun, pihak diperintahkan membayar nafkah kekal bertanggungjawab melunaskan kewajipan mereka.
Beliau berkata demikian menjawab Zulkifli Ismail (PN-Jasin) bertanyakan tindakan kerajaan berhubung kes Mahkamah Syariah berkait tunggakan nafkah yang berlarutan bertahun-tahun.
Pada Jun lalu, kumpulan hak asasi wanita SIS Forum (Malaysia) mencadangkan penggubalan undang-undang persekutuan dan penubuhan agensi khas membantu wanita Muslim dan bukan Muslim menuntut semula nafkah tertunggak.
Klinik perundangan mereka, Telenisa, telah mengendalikan 869 kes nafkah anak dan 170 kes nafkah isteri, antara 2016 hingga 2025.
