KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer diminta menulis surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul jika mahu Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Johari berkata, jawatankuasa itu akan meneliti perkara mengenai penggunaan perkataan 'munafik' oleh Takiyuddin yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Isnin lepas, sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya akan memanggil jawatankuasa untuk melihat dan bukan keputusan saya selepas itu. Keputusannya adalah keputusan jawatankuasa yang dianggotai oleh dua-dua belah pihak, saya hanya akan mengumumkan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Rayer membangkitkan isu itu mengikut Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang ahli Dewan menggunakan bahasa yang kurang sopan.
Johari menjelaskan, beliau sebelum ini telah meminta Takiyuddin menarik balik perkataan itu, namun setiausaha agung PAS itu menerusi surat bertarikh 22 Okt mencadangkan supaya proses mediasi diadakan, tanpa menarik balik perkataan itu.
Johari turut melahirkan rasa dukacita apabila Takiyuddin kemudian membuat kenyataan kepada media mengenai surat berkenaan sebelum beliau sempat memberikan maklum balas.
Rayer berkata, beliau akur dengan peraturan Dewan dan berpendapat Takiyuddin juga perlu berbuat demikian.
Pada Rabu lepas, Johari berkata, beliau telah meneliti hansard sebelum memutuskan bahawa Takiyuddin perlu menarik balik perkataan itu, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau melalui penjelasan bertulis kepada speaker.
